Era Mewah Syarikat Hartanah Keluarga

Penglibatan dalam bidang hartanah bermula sejak lebih 17 tahun lalu banyak memberi inspirasi dan pengalaman sehingga mencapai kejayaan dalam kehidupan hari ini. Biarpun sektor ini melalui detik-detik getir ketika kegawatan ekonomi beberapa tahun lalu sehingga menjejaskan perjalanan syarikat.

Namun sebagai ahli perniagaan yang gigih, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Era Mewah Sdn. Bhd., Mohamad Hassan Mukhtar Mohd. Ali tabah mengharungi pahit maung dalam mengukuhkan perniagaan ini.

Bermula dengan projek hartanah dengan membina kompleks Kem Bina Insan yang terletak di Sungai Merab, Bangi, Selangor.

Ini diikuti dengan Institut Pengajian Tahfiz Al-Quran (Darul Quran) di pinggir Taman Tun Dr. Ismail, Tahfiz Al-Quran wal Qiraati Kolej Anjung Selatan, Salak Tinggi, Sepang, Sekolah Kiblah dan Sekolah Al-Ain.

Semuanya diusahakan bersama-sama dengan ahli keluarga sehingga segala kepahitan dirasai dan menjadi titik tolak untuk terus berusaha dengan mengembang dan membuka perniagaan hartanah-hartanah yang lain.

Wartawan, MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK bersama jurufoto, ROY AZIS ABDUL AZIZ menemubual dan berkongsi pengalaman mengenai perniagaan yang dijalankan.

MEGA: Apakah faktor utama anda menceburi dalam bidang perniagaan ini?

MOHAMAD HASSAN: Sebenarnya ramai yang tidak sanggup meninggalkan dunia kerjaya dan gaji lumayan hanya kerana ingin menceburi satu bidang yang diakui mencabar dan berisiko tinggi iaitu dunia perniagaan. Impian untuk hanya bekerja makan gaji semata-mata tidak memberi kepuasan kepada diri saya.

Namun minat yang mendalam dalam dunia perniagaan mula bersinar hasil daripada melihat kejayaan rakan-rakan dalam perniagaan. Memegang dan menjawat jawatan awam sebagai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia Bahagian Cawangan Khas selama 8 tahun mulai 1969, sebelum meletakkan jawatan untuk menyertai salah sebuah bank tempatan pada 1977 banyak memberi kata putus untuk saya menceburkan diri dalam dunia perniagaan ini.

Pengalaman yang diperoleh menjadi asas dan tapak untuk diri saya mengidam memiliki sebuah syarikat perusahaan sendiri.

Semuanya setelah lama berkhidmat dan diberi kepercayaan memegang beberapa jawatan sehinggalah saya menubuhkan syarikat sendiri iaitu Era Mewah Sdn. Bhd yang diperbadankan pada 13 Julai 1990.

Tertubuhnya syarikat ini memberi inspirasi dengan menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan pelaburan pembangunan dan pengurusan hartanah. Modal berbayar adalah sebanyak RM280,000 di mana ahli lembaga pengarahnya juga dianggotai oleh isteri saya iaitu Azizah Dolah.

Dalam beberapa tahun ini, apakah perancangan dan wawasan syarikat?

MOHAMAD HASSAN: Kami di Kumpulan Era Mewah kini sedang bertapak sebagai sebuah syarikat pengurusan, pembangunan dan pelaburan hartanah.

Kini, syarikat kami pesat mengembangkan aktiviti perniagaan dalam pelbagai bentuk pelaburan terutama yang menjurus kepada pembangunan dan pengurusan hartanah yang efektif.

Sejak beberapa tahun lalu, syarikat berjaya memajukan beberapa aset tanah yang strategik di kawasan Taman Tun Dr. Ismail dan Lembah Kelang untuk pembangunan kawasan perumahan elit, sederhana dan kondominium.

Perniagaan hartanah memungkinkan syarikat memiliki sejumlah aset yang kemudiannya dibangunkan dan diuruskan sebagai salah satu aktiviti perniagaan. Ia bagi menjana keuntungan yang tidak hanya mensasarkan kepada satu pelaburan hartanah semata-mata.

Untuk tujuan itu, syarikat menyiapkan beberapa projek hartanah yang mendapat kelulusan pihak berkuasa seperti memajukan kawasan-kawasan pembangunan rezab melayu, pembangunan rumah-rumah kos rendah dan sederhana dan projek hartanah lain.

Antara matlamat syarikat adalah selaras dengan wawasan negara untuk mencapai satu tahap kecemerlangan menjangkau tahun 2020. Syarikat juga berhasrat memainkan peranan yang penting dalam menggalakkan penyertaan usahawan bumiputera dalam sektor hartanah dengan dasar perindustrian negara di samping menyediakan peluang untuk vendor bumiputera terlibat dengan projek-projek syarikat ini.

Apakah faktor dan cabaran yang dihadapi dalam dunia perniagaan hartanah ini?

MOHAMAD HASSAN: Perubahan sikap, pendedahan yang lebih meluas serta pengaruh persekitaran membuka peluang kepada setiap pemaju hartanah. Saya yakin, projek-projek sedemikian mampu menarik minat pembeli.

Dalam hal ini konsep jualan yang tepat banyak membantu. Sebagai pemaju, saya mengakui menghadapi banyak cabaran untuk menjayakan projek-projek yang dirancang.

Salah satu cabarannya ialah mendapatkan kelulusan pihak berkuasa. Malah keupayaan kami pada mulanya turut diragui kerana membina kondominium di atas tanah rezab Melayu seperti di kawasan Sungai Penchala. Namun, alhamdulillah semua berjalan dengan lancar berkat doa dan kesabaran.

Apakah senario sektor hartanah di kalangan umat Islam kini?

MOHAMAD HASSAN: Tanda-tanda pemulihan dalam sektor ini cukup baik. Urusan transaksi sudah mula ada dan orang ramai dan umat Islam mula berminat untuk membeli hartanah berbanding dua atau tiga tahun sebelum ini.

Umat Islam telah merencanakan harta mereka kepada satu aset tetap. Ini menunjukkan perubahan dan tingkat kemampuan kuasa membeli di kalangan umat Islam negara ini menunjukkan perubahan yang positif. Malah penguasaan itu juga melambangkan umat Islam kini berdaya saing dengan bangsa lain khususnya dalam memiliki aset yang berharga.

Pada zaman kegawatan ekonomi apakah pendekatan bagi menstabilkan syarikat di pasaran khususnya dalam menjana kestabilan ekonomi Islam?

MOHAMAD HASSAN: Paling penting kita perlu sentiasa berhemah dalam berbelanja. Semasa zaman mewah jangan terlalu boros dan banyak membuat pinjaman.

Jangan terlalu komited atau memberi tumpuan kepada banyak perkara kerana ini boleh menjejaskan tumpuan dan adakalanya menyebabkan kita gagal mencapai matlamat.

Walaupun demikian, dalam situasi sedemikian syarikat tetap merasai keperitan untuk menanggung keadaan ekonomi ketika itu. Semua orang merasa.

Dalam keadaan genting itu, banyakkan amal jariah supaya Allah s.w.t sentiasa bersama-sama semasa dalam susah dan senang. Untuk meneruskan kelangsungan dalam perniagaan sendiri kadang-kadang saya terpaksa mengambil beberapa tindakan misalnya menjual hartanah dengan harga pasaran semasa mengikut aliran tunai.

Saya juga terpaksa mengurangkan beberapa sumber syarikat demi menjaga tahap prestasi keuntungan agar terus memperolehi keuntungan yang maksimum.

Bagaimana pula pendekatan Islam dilaksanakan dalam meniti kejayaan syarikat?

MOHAMAD HASSAN: Sebagai pengurus dan pentadbir, saya mempunyai cara pengurusan tersendiri. Kebanyakan pekerja syarikat terdiri daripada ahli keluarga.

Projek-projek yang dijalankan oleh Kumpulan Era Mewah dibangunkan sendiri. Kemudian pihak syarikat melantik sebuah syarikat untuk menguruskannya secara usahasama.

Saya mengamalkan musyawarah dan gotong-royong, berkongsi modal, pendapat dan usaha. Perniagaan ini ialah perniagaan keluarga yang dijalankan di kalangan adik-beradik. Malah sesetengah perniagaan syarikat ini berbentuk koperasi.

Para pemodal memberi wang, syarikat membeli tanah kemudian membuat kertas cadangan dan menjalinkan kerjasama dengan pemaju.

Antara projek terkini syarikat sedang mengambil alih dan menguruskan beberapa perkampungan latihan dan rekreasi yang berpotensi khususnya dalam membantu masyarakat dalam meningkatkan jati diri mereka.

Dengan itu syarikat membina Nur Bukit Unggul, Nur Bukit Hijau, Nur Lembah Pangsun Eco Resort dan Nur Lembah Lenggong Training Village sebagai sebuah pusat latihan dan pembangunan insan yang kini menjadi orientasi syarikat dalam bidang latihan dan bimbingan.

Dalam pada itu, kami juga merupakan gabungan beberapa syarikat dalam memajukan bidang industri tanah yang bergabung dengan Era Mewah Sdn. Bhd., Era Mewah Development Sdn. Bhd, Era Mewah Realty Sdn. Bhd., Petplus (M) Sdn. Bhd. Landmark Lane (M) Sdn. Bhd, dan S.P Sekuriti Sdn. Bhd.

Siapakah yang banyak memberi dorongan dan sokongan kepada anda?

MOHAMAD HASSAN: Sokongan padu ibu, keluarga dan saudara mara merupakan pendorong utama. Ibu saya, Che Halimah Mohamad Samad ialah orang yang banyak memberi sokongan dan bantuan pada saat saya memerlukan.

Apakah prinsip yang perlu ada dalam diri seseorang melakar dunia perniagaan ini?

MOHAMAD HASSAN: Kesungguhan dan keikhlasan mesti ada pada setiap ahli perniagaan. Tumpuan mesti diberikan. Jika sesetengah orang sering bertukar bidang perniagaan, saya tetap setia dalam sektor hartanah walaupun dilanda pelbagai cabaran. Banyakkan istiqamah kerana lama-kelamaan pasti akan mendapat hasilnya.

Saya menganggap perniagaan sebagai satu komitmen agama dan ibadah.

Saya berharap mereka yang menyertai bidang hartanah dapat terus memberi manfaat bukan sahaja untuk menjana modal tetapi membantu kegiatan-kegiatan keagamaan. Kejayaan dalam perniagaan tidak bermakna jika tidak disalurkan kepada agama dan ummah.

Projek-Projek Hartanah yang dilaksanakan berkonsepkan Islam:

* Pembangunan Balai Islam di Pinggir Taman Tun Dr. Ismail yang kini menjadi mercu tanda dan kebanggaan penduduk Islam. Balai Islam ini dibina dengan kos RM3 juta yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan untuk umat Islam beribadat dan pendidikan.

* Projek pembangunan sebuah kondominium Mas Kiara berkonsepkan ciri Islam pertama di negara ini dan seumpamanya di dunia. Ciri Islam yang terdapat ialah kolam renang yang berasingan untuk lelaki dan wanita. Sebuah surau yang boleh menempatkan 200 orang jemaah dan tadika Islam. Lifnya direka khusus untuk mengambil dan menurunkan jenazah atau penghuni uzur.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s