Industri Spa Rangsang Pelancongan Kesihatan

BAGI menggalakkan peningkatan industri spa tempatan serta melonjakkan kedudukan negara sebagai destinasi pelancongan kesihatan, Kuala Lumpur menganjurkan Festival Spa dan Kesejahteraan Asia 2007.

Acara itu berlangsung di Pusat Pameran Mid-Valley di ibu negara baru-baru ini yang dianjurkan oleh AIC Exhibition Centre dengan kerjasama Persatuan Hotel Malaysia.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Dr Victor Wee, berkata penganjuran festival seperti ini diharap dapat merangsang perkembangan industri spa yang menyumbang 12 hingga 18 peratus pendapatan tahunan bagi sektor pelancongan.

Katanya, spa adalah antara komponen industri pelancongan yang turut mewujudkan peluang pekerjaan dan memberi pulangan pendapatan kepada negara melalui nilai tukaran asing. Pada masa sama, ia dapat mempromosi kepelbagaian budaya Malaysia yang unik terutama dalam rawatan kesihatan.

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Khamsiyah Yeop, industri spa berpotensi menjana pendapatan untuk negara menerusi kerjasama dengan industri pelancongan.

“Industri spa sememangnya sedang bekerjasama dengan sektor pelancongan iaitu dengan Tourism Malaysia. Apabila pelancong datang mereka akan bermalam di hotel serta menggunakan perkhidmatan spa dan dengan itu, sudah tentu industri ini menyumbang kepada pendapatan negara,” katanya.

“Rata-rata hotel yang menawarkan perkhidmatan spa menunjukkan peningkatan dalam kadar penginapan… ini boleh dikatakan satu industri yang sedang berkembang maju,” katanya.

Seperti di negara lain, pelancongan adalah penyumbang penting kepada ekonomi dengan mewujudkan peluang pekerjaan dan memperluaskan jaringan perniagaan.

Peningkatan perniagaan rawatan spa yang begitu memberangsangkan sejak kebelakangan ini dikatakan mampu memberi pulangan pendapatan lumayan kepada negara melalui pakej pelancongan kesihatan.

Kajian menunjukkan 25 peratus pengunjung melawat spa sekali dalam sebulan, 13 peratus dua kali sebulan dan 13 peratus mengunjungi spa sekurang-kurangnya sekali dalam jangka masa setahun.

Pelancongan kesihatan bukanlah satu fenomena baru. Negara seperti Jepun, Singapura, Indonesia dan beberapa negara Eropah sudah menempa nama dalam penyediaan kemudahan spa bertaraf dunia, yang biasanya menjadi tarikan dalam agenda pelancongan mereka.

Malaysia juga mempunyai potensi menjadi destinasi pelancongan kesihatan yang kompetitif. Jumlah kedatangan pelancong dari Indonesia, Brunei dan Singapura untuk rawatan spa di Malaysia pada tahun 2000 adalah sebanyak 175,000 orang, iaitu meningkat sebanyak 127 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jika mahu dibandingkan dengan negara jiran Indonesia, khasnya di Bali, spa di Malaysia masih jauh ketinggalan. Kemasyhuran spa di Bali membuatkan ramai mengatakan kunjungan pelancong ke pulau peranginan itu dianggap tidak lengkap jika tidak singgah ke salun yang menawarkan perkhidmatan spa. Ini membuktikan perkhidmatan spa boleh menjadi satu daya tarikan kepada pelancong.

Melihat kejayaan di negara jiran, Malaysia juga boleh berjaya dalam bidang sama seandainya usaha mengembangkan sektor ini mendapat sokongan semua pihak termasuk daripada kerajaan.

Bersandarkan kepada kekayaan khazanah sumber alam semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan herba dan rempah-ratus, tidak mustahil suatu hari nanti Malaysia juga mampu menguasai kemahiran dan tarikan pelancongan dalam bidang spa.

Ramai yang tidak jelas akan makna sebenar spa kerana sesetengah rawatan ditawarkan pengusaha tertentu tidak lain daripada perkhidmatan yang disediakan di salun biasa. Sebenarnya, spa menawarkan perkhidmatan unik dan eksklusif.

Perkataan ‘spa’ adalah singkatan daripada perkataan ‘Solus Per Aqua’ daripada bahasa Latin yang bererti penyembuhan dengan air, iaitu konsep perawatan yang diperkenalkan sejak tahun 400 SM di Rom.

Pada zaman itu, pancutan air panas semula jadi digunakan oleh askar untuk merehat dan merawat badan daripada keletihan dan luka selepas perang.

Spa tertua Romawi masih wujud di Merano, Itali hingga kini, yang membuktikan kemujaraban dan populariti mata air panas semula jadi itu sebagai bahan terapi.

Kini, masyarakat umum di Malaysia semakin menyedari pentingnya hidroterapi dalam meningkatkan tahap kesihatan dan mula menjadikan spa salah satu tempat kunjungan utama bagi rawatan kesihatan. Menurut statistik, nisbah pengunjung spa wanita berbanding lelaki adalah 60:40. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s