Kesan buruk E-Mel fitnah

21st November 2004 (Harian Metro)
BY C Ramasamy

PENGURUS Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT), Solahuddin Shamsuddin, berkata, usaha pihaknya memburu pengirim e-mel fitnah berdepan dengan kerumitan.

“Kesukaran yang sering kami hadapi ialah maklumat yang kehendaki bagi tujuan mengesan kurang atau tiada langsung.

Ini berlaku apabila mangsa e-mel fitnah sudah padam atau ‘delete’ e-mel fitnah berkenaan.

“Ataupun mangsa tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan Kepala E-mel bagi e-mel fitnah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata ada juga keadaan pihak ISP gagal mengesan akaun pelanggan yang menggunakan alamat IP yang dijejaki dalam Kepala E -mel disebabkan terdapat perbezaan masa di antara Kepala E-mel dan log ISP berkenaan.

“Masa di Kepala E-mel dengan masa di log ISP perlu padan untuk menjejaki orang yang betul-betul menghantar e-mel fitnah tersebut dengan tepat,” katanya.

Jika e-mel niat jahat yang dihantar ‘Anwar’ mampu mengganggu gugat keharmonian negara sementara e-mel ‘Asmah & The Gang’ bermotif ‘membunuh’ karektor Siti Nurhaliza, terdapat pula sebilangan e -mel yang berupaya menghakis kemantapan ekonomi negara dan mencetuskan kepanikan di kalangan pengguna terutama umat Islam dengan mempermainkan soal halal haram.

Ancaman e-mel seumpama itu amat nyata dan tidak hairanlah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Jamaludin Jarjis mengarahkan Mimos Berhad menyiasat e-mel yang mencipta kesangsian terhadap sesuatu produk sehingga menjejaskan perniagaan sesebuah syarikat dan kelangsungan ekonomi secara keseluruhannya.

“Sebelum ini, kita terpaksa menangani isu keselamatan di internet. Kini ancaman itu disasarkan kepada pengguna dan industri pula.

“Jika pengguna disalurkan maklumat yang salah (mengenai sesuatu produk atau industri), ini akan mengancam ekonomi negara,” kata beliau.

Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, yang menguasai 60 peratus pasaran roti dan produk bakeri tempatan, adalah antara syarikat yang menerima tempias e-mel fitnah yang mendakwa keluaran syarikat itu tidak halal.

Begitu hebat serangannya sehingga memaksa syarikat itu mengambil langkah menyalurkan maklumat sebenar kepada umum dengan membuat kenyataan kepada media cetak dan elektronik, mengeluarkan iklan editorial dalam akhbar utama, menghantar surat penjelasan kepada beribu-ribu masjid di seluruh Semenanjung dan menghantar surat penjelasan kepada beribu-ribu pekedai/peniaga yang menjual produk Gardenia.

Ketua Jawatankuasa Halal/Pengawal Sumber Manusia dan Hal Ehwal Awam Gardenia Bakeries, Rosli Mohd Nor, berkata kempen fitnah itu mula dikesan pada April tahun ini apabila pihak tertentu menghantar surat layang melalui pos kepada ribuan masjid di seluruh Semenanjung.

“Surat itu mengajak umat Islam supaya tidak lagi membeli produk Gardenia Bakeries. Fitnah itu kemudian tersebar pula melalui e-mel dan faks serta cara lain seperti penghantaran tangan,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, dua bulan kemudian, pada Julai, Sistem Pesanan Ringkas (SMS) pula disebarkan memfitnah roti Gardenia mengandungi bahan daripada khinzir.

Kempen jahat itu berterusan apabila pada Ogos, surat layang dalam format lain dihantar kepada peniaga Islam di Pantai Timur terutama di Kota Bharu.

Nampak ada pihak bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan Gardenia Bakeries yang diramal mencatatkan jualan sehingga RM300 juta tahun ini.

Ditanya kemungkinan fitnah itu disebarkan pihak yang mahu melihat penguasaan pasaran Gardenia Bakeries merosot, Rosli, yang mengakui kempen itu sememangnya memberi kesan terhadap jualan, hanya menjawab: “Mungkin.”

Tetapi beliau pasti mengenai satu perkara.

“Jelas kempen berkenaan dilakukan pihak berkepentingan yang mempunyai modal dan sumber cukup bagi melaksanakannya. Tujuannya jelas semata-mata bagi menjatuhkan nama baik dan meru gikan Gardenia Bakeries,” katanya.

Gardenia Bakeries, yang memperolehi sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) setiap tahun, membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam pada 26 Julai lalu.

“Kami mahu melihat pihak yang memfitnah Gardenia Bakeries dikenakan tindakan undang-undang kerana perbuatan itu sangat keji dan menyusahkan banyak pihak terutama pengguna. Perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku kepada mana-mana syarikat,” kata Rosli.

Luahan rasa Rosli difahami kerana Gardenia Bakeries terpaksa mengeluarkan belanja besar bukan saja untuk membetulkan keadaan tetapi juga bekerja keras mengembalikan keyakinan pengguna terhadap kehalalan produknya.

Bayangkan. Seandainya pengguna terpengaruh dengan kempen fitnah berkenaan, perniagaan Gardenia Bakeries yang mempunyai 3,000 pekerja dan menjualnya produknya di 18,000 premis di seluruh negara, akan terjejas dan kerajaan turut kerugian kerana tidak dapat mengutip cukai.

Seperti Gardenia Bakeries, Coffee Bean & Tea Leaf (M) Sdn Bhd turut berdepan dengan masalah sama apabila pihak tertentu menyebarkan e-mel mendakwa produk syarikat itu mengandungi gelatin babi dan alkohol.

Keberkesanan penguatkuasaan undang-undang terhadap penyalahgunaan kemudahan internet di negara ini memang terbukti apabila pada tahun lalu, sebanyak 857 kes dibawa ke mahkamah mengikut Akta Jenayah Komputer 1997 membabitkan denda RM2.9 juta. Sehingga September tahun ini pula, sebanyak 355 kes dengan denda RM1.7 juta sudah melalui proses pendakwaan.

Bagi pendakwaan kes mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula, 35 kes sudah didakwa membabitkan denda RM34,000 manakala sehingga September tahun ini, sebanyak 117 kes didakwa dengan denda RM451,000.

Peguam, Kathiresan Naliah berkata di Malaysia terdapat satu set undang-undang berlainan yang dikuatkuasakan untuk mengekang jenayah internet yang juga berbentuk pelbagai.

“Mereka yang menceroboh rangkaian komputer, melakukan penipuan terhadap perbankan internet atau bertanggungjawab menyebarkan virus boleh didakwa menurut Akta Jenayah Komputer 1997.

“Bagi kesalahan seperti penyalahgunaan akaun komunikasi untuk mengelak membuat bayaran, Akta Komunikasi dan Multimedia diguna pakai,” katanya.

Menurutnya, bagi kesalahan menyebarkan maklumat berunsur fitnah atau menjatuhkan maruah orang lain, tindakan boleh diambil mengikut Kanun Keseksaan sebagaimana dalam kes ‘Anwar’ dan ‘Asmah & The Gang.’

Bagaimanapun, katanya, berbeza dengan Malaysia, di Barat sudah ada kes seseorang individu menyaman seseorang individu lain yang menghantar e-mel fitnah bagi mendapatkan keadilan.

“Dalam satu kes di Britain itu, seorang individu disaman kerana menghantar e-mel fitnah. Peguam mangsa e-mel fitnah itu berjaya menjejaki dan mendapatkan maklumat si pengirim.

“Apabila kes dibicarakan, si pengirim dalam pembelaannya memberitahu mahkamah, dia tidak sedar e-mel itu dihantar melalui komputernya kerana mendakwa komputernya ketika itu digodam. Bagaimanapun, pembelaan itu gagal dan mangsa mendapat pampasan terhadap fitnah yang dilemparkan terhadapnya,” katanya.

(Dalam kes empat dituduh menyebarkan khabar angin melalui e-mel bahawa pendatang asing Indonesia akan mengamuk di Chow Kit, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 28 April 2000, membebaskan seorang tertuduh yang didapati tidak bersalah.

Majistret Shahrizal Shaari dalam keputusannya berkata pendakwa tidak dapat membuktikan tertuduh yang menghantar e-mel walaupun nama tertuduh tertera dalam internet.

Katanya, tidak ada keterangan saksi pendakwa membuktikan khabar angin itu dibuat tertuduh).

Barangkali masanya sudah sampai buat Siti Nurhaliza dan Gardenia Bakeries turut mengambil tindakan yang sama seperti mangsa di Britain itu sebagai pengajaran kepada golongan seperti ‘Anwar’ dan ‘Asmah & The Gang’ yang merasakan diri mereka hebat dan sukar ‘disentuh’ apabila jari jemari mengetuk papan kekunci komputer.

KESAN BURUK E-MEL FITNAH

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s