Anugerah Usahawan ICT 2003

TEMUBUAL:PENERIMA ANUGERAH USAHAWAN ICT 2003

ASPATI Sdn. Bhd. (ASPATI) diasaskan oleh Encik Hishamuddin bersama dengan isterinya pada tahun 1997. Syarikat ini terlibat dalam bidang ICT khasnya pembangunan produk multimedia. Baru-baru ini, Encik Hishamuddin telah dianugerahkan Usahawan ICT 2003 oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Sehubungan dengan itu, Maktab Kerjasama Malaysia (MKM) telah berpeluang menemu bual dan berkongsi pengalaman suka duka ASPATI bersama dua orang rakan kongsi dan peneraju utamanya iaitu Encik Hishamuddin Mohamed Amin selaku Pengarah Urusan dan Encik Kamaruzzaman Jahidin selaku Pengarah.

Soalan

Adakah tuan mendapat pendidikan formal dalam bidang ICT ini dan sejak bila tertarik untuk menceburi bidang ini secara serius?

Jawapan

Saya tidak pernah mendapat pendidikan formal tetapi saya mendapat maklumat tentang bidang ini semasa belajar di UTM di dalam bidang pemetaan digital (digital mapping). Dari situlah saya terdorong untuk menceburi bidang ini kerana saya melihat potensi multimedia dalam konteks yang luas dalam jangka masa yang pendek dan modal yang rendah. Berdasarkan pengamatan saya juga, produk multimedia di Malaysia sangat terhad walaupun permintaannya tinggi. Adalah menjadi hasrat saya untuk mempelbagaikan produk multimedia dalam bahasa Malaysia selari dengan galakan Kerajaan untuk rakyat Malaysia mengaplikasikan penggunaan ICT dalam kehidupan harian

Soalan

Bagaimana tuan memulakan operasi perniagaan teknologi ini?

Jawapan (H)

Perniagaan ini dimulakan pada waktu kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dengan berbekalkan modal sebanyak RM40,000. Saya hanya mempunyai seorang sahaja pekerja sepenuh masa yang melaksanakan tugas pentadbiran. Pada peringkat awal perniagaan ini, kami mengalami banyak kali kegagalan sehingga habis modal digunakan. Berdasarkan pengalaman kerja yang lepas, ia banyak membantu dalam menjadi penghasilan kreativiti dalam ICT.

Jawapan (Z)

Untuk terlibat di dalam bidang ICT, kita tidak boleh menjadi pengikut tetapi perlu menjadi pencetus idea dan pencipta produk multimedia yang kreatif selari dengan perkembangan teknologi. Dari aspek pentadbiran pula, sejak dari awal penubuhan kami telah mengendalikan operasi syarikat ini dari peringkat bawahan sehinggalah ke peringkat pembuatan keputusan. Dari situlah kami mendapat pengalaman untuk menguruskan perniagaan ICT ini

Soalan

Apakah reaksi tuan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan ICT 2003?

Jawapan

Memang kami terkejut kerana terdapat 134 syarikat yang dicalonkan oleh 25 agensi Kerajaan. Selepas pegawai daripada Kementerian datang mengaudit, kami dipilih untuk disenaraikan dalam calon akhir dan seterusnya dipilih untuk menerima anugerah ini.

Soalan

Apakah rahsia kejayaan di sebalik anugerah berprestij ini?

Jawapan

Kami amat mengutamakan kehendak pelanggan tanpa mengira nilai bayaran tinggi atau rendahnya sesuatu projek tersebut. Sehinggakan dalam hal penghantaran produk pun akan dilakukan sendiri oleh kami. Ini bagi memastikan pelanggan berpuas hati dengan produk dan perkhidmatan kami. Dengan itu, pelanggan akan kembali kepada kami untuk projek yang akan datang jika ada.

Soalan

Boleh tuan ceritakan serba ringkas bagaimana syarikat ini beroperasi sehingga kini?

Jawapan (H)

ASPATI bermula sebagai sebuah enterprise pada tahun 1997 dan ditukarkan kepada ASPATI Sdn. Bhd pada tahun 2000. Lokasi awal ASPATI terletak di Taman Cahaya, Ampang kemudian berpindah ke bangunan pejabat di Pandan Safari dan sejak 3 tahun lepas ASPATI beroperasi secara rasmi di Hicom Town Centre, Shah Alam. Dalam proses pertukaran seagai sebuah syarikat Sdn. Bhd ini, ASPATI telah mengambil alih Qiam Point Trading, iaitu sebuah syarikat ICT yang telah mempunyai potensi pelanggan sedia ada.

Jawapan (Z)

ASPATI tidak mempunyai kakitangan khusus dalam aspek pemasaran. Walaupun begitu, nama ASPATI sering meniti di bibir pelanggannya atas kualiti produk yang dipercayai dan secara tidak langsung ia menjadi saluran pemasaran bagi pihak ASPATI. Sehingga kini kakitangan ASPATI adalah seramai 12 orang pekerja tetap sepenuh masa.

Soalan

Sebagai usahawan bumiputera yang berjaya, boleh tuan berikan sedikit tip bagaimana untuk meyakinkan pelanggan tentang produk atau perkhidmatan di dalam bidang ICT ini?

Jawapan (H)

Sebelum pembangunan sesuatu produk, kami akan bertukar idea dan pandangan serta memberikan nasihat yang akan menguntungkan kedua-dua belah pihak. Anggap pelanggan sebagai keluarga..

Jawapan (Z)

Di samping itu juga, kami akan cuba menghasilkan produk berkualiti dan tidak terlalu berkira tentang kos pembangunan pruduk tersebut.

Soalan

Boleh tuan berkongsi pengalaman pahit dan manis yang telah dilalui sepanjang penglibatan tuan dalam bidang perniagaan?

Jawapan (H)

Pengalaman pahit setakat ini adalah akaun kami pernah menjadi negative kerana lambat menerima bayaran. Manakala pengalaman manis pula apabila dianugerahkan sebagai tokoh Usahawan ICT bagi tahun 2003 dan apabila pelanggan menghargai produk kami.

Soalan

Bagaimanakah perniagaan ini bertahan dalam persaingan yang sengit di era globalisasi kini?

Jawapan (H)

Apa yang penting bukan untuk menjadi sebuah syarikat yang besar, tetapi kita perlu mempertahankan apa yang kita ada dan menerokai perkara baru supaya kita tidak ketinggalan serta perlu melengkapkan diri dengan teknologi baru dari semasa ke semasa.

Jawapan (Z)

Seperkara lagi, kami hanya akan menerima sesuatu projek itu berdasarkan kemampuan yang ada pada kami. Kami juga tidak tamak untukmerebut projek besar supaya jangan sampai yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran. Ini dapat menjamin kualiti output yang kami hasilkan.

Soalan

Apakah budaya kerkja yang diamalkan oleh ASPATI?

Jawapan (H)

Kita perlu bekerja dalam keadaan gembira kerana ia akan meningkatkan kualiti kerja. Di samping itu, ketua perlu bersama-sama dengan kakitangan dalam menyiapkan sesuatu projek. Jangan malu belajar daripada kakitangan jika tidak tahu. Sebaiknya ketuamestilah mempunyai lebih pengetahuan daripada kakitangan.

Jawapan (Z)

Kami mementingkan aspek komunikasi di mana akan mengadakan taklimat kemajuan tentang sesuatu projek sekurang-kurangnya seminggu sekali. Setiap pagi juga, saya akan memantau perjalanan tugas kakitangan di ASPATI. Sebagai menjaga kebajikan pekerja, ASPATI menyediakan rumah dan pengangkutan untuk kakitangan kami. Bekerja 5 hari seminggu, bonus tahunan, elaun kehadiran. Dengan kata lain output dan sumber manusia haruslah seimbang.

Soalan

Apakah perancangan ASPATI bagi mengekalkan prestasi syarikat yang cemerlang ini?

Jawapan (H)

Kami akan cuba untuk melengkapkan syarikat dengan system pengurusan yang lebih baik dari segi kewangan, mendapat lessen bagi perisian yang kami gunakan, mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif, menjadi hubungan dengan pelanggan sedia ada di samping menambah pelanggan baru.

Jawapan (Z)

Kami memastikan supaya setiap tahun kami perlu mendapatkan sekurang-kurangnya dua pelanggan baru. Bagi mengekalkan prestasi ini, kami merangka satu pelan induk perancangan projek sepanjang tahun.

Soalan

Apakah strategi dan faktor motivasi yang menguatkan semangat tuan dalam mengharungi kegawatan ekonomi pada akhir 1990-an?

Jawapan (H)

Apabila kita menceburi sesuatu bidang kita perlu meneruskannya mengikut kemampuan kita iaitu perlu mempunyai motivasi dalam diri sendiri di samping minat yang ada.

Jawapan (Z)

Kita perlu yakin dengan produk kita sendiri, mencuba sesuatu yang baru dan tampakkan kelainan pada produk yang boleh menarik perhatian orang lain. Selain itu, keluarga dan jualan produk serta respons dari pengguna yang menaikkan lagi semangat kami.

Soalan

Sebagai seorang yang menghargai ilmu pengetahuan, apakah pendapat tuan terhadap pembelajaran sepanjang hayat?

Jawapan (H)

Pembelajaran sepanjang hayat memanglah sesuatu sangat penting tetapi untuk menjadikan ia lebih berkesan kita perlu memikirkan cara, pendekatan dan teknilogi yang lebih sesuai mengikut peringkat umur.

Jawapan (Z)

Kita sebagai manusia perlu sentiasa belajar, bukan sahaja dalam bidang yang kita seburi tetapi juga dalam bidang lain juga

Soalan

Apakah harapan tuan terhadap masa depan perniagaan ini?

Jawapan (H)

Kami berharap semoga perniagaan ini dapat bertahan menghadapi cabaran dan kami juga akan cuba menggunakan sepenuhnya apa yang kami ada.

Jawapan (Z)

Terdapat banyak cabang dalam bidang multimedia, kami akkan cuba menceburi cabang multimedia yang lain seperti animasi tv, iklan tv dan penghasilan video koperasi serta montaj yang menarik dengan kos yang berpatutan.

Soalan

Apabila menceburi bidang perniagaan, seseorang itu memerlukan semangat yang waja dan sanggup menghadapi risiko. Apakah pesanan tuan untuk semua usahawan dan bakal usahawan yang mahu menceburi bidang ICT ini?

Jawapan (H)

Untuk kekal dalam persaingan, kita perlu berfikir secara kreatif untuk menonjolkan produk kita. Selain itu juga, kita perlu tahu perkembangan teknologi dan menghasilkan sesuatu yang orang lain tak pernah buat.

Jawapan (Z)

Kita juga perlu tahu apakah bidang kita dan jangan menoleh ke belakang dan perlu ada disiplin diri.

Soalan

Pada pendapat tuan, apakah ciri-ciri keusahawanan yang perlu ada pada seseorang untuk berjaya?

Jawapan(H)

Pada pendapat saya, kita perlu fokus ke hadapan.

Jawapan (Z)

Kita juga perlu sensitif dengan perkara baru.

Soalan

Jika bukan usahawan ICT,apakah kerjaya yang mungkin tuan lakukan sekarang ini?

Jawapan (H)

Mungkin saya akan bekerja sebagai Jurutera Ukur

Soalan

Kesimpulannya, apakah 3 perkataan yang boleh menggambarkan personaliti tuan?

Jawapan (H)

Bekerja, bergembira dan menikmati hasil akhir.

Pesanan akhir dari Encik Kamaruzzaman:

Kalau hendak membuka sesuatu perniagaan perkongsian, jangan cari rakan kongsi lebih dari 2 orang kerana mudah untuk kita menguruskan sesuatu perniagaan itu. Selain itu, jangan terlaku berharap dengan pinjaman luar, kalau boleh kita perlu mencari sendiri. Biar susah dahulu, senang kemudian, yang terakhir sekali, jangan lupa pada zakat perniagaan.

SUMBER: DIMENSI KOOP, MKM Januari 2005

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s