Jangan Lokek Berbelanja untuk Iklan – Datuk Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR 6 Feb. – Usahawan bumiputera digesa tidak terlalu `berkira’ memperuntukkan sejumlah wang untuk mengiklan dan mempromosikan produk serta perkhidmatan syarikat masing-masing. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata, sikap ini dapat dilihat daripada jumlah usahawan bumiputera yang berbelanja dalam bidang pengiklanan adalah sebanyak satu peratus sahaja.

Katanya, keseluruhan jumlah perbelanjaan pengiklanan yang dilakukan oleh semua syarikat termasuk multi nasional pada tahun lalu adalah sebanyak RM4.5 bilion.

Beliau memberitahu, perbelanjaan pengiklanan yang dibuat oleh kumpulan tersebut adalah melalui media cetak seperti surat khabar manakala pengiklanan melalui televisyen pula terlalu kecil.

Beliau berucap pada majlis Pelancaran Segmen Usahawan dalam Program Malaysia Hari Ini (MHI) di Sri Pentas TV3, di sini hari ini. Mohamed Khaled berkata, sikap mahu mendapatkan keuntungan segera setelah mengeluarkan perbelanjaan yang banyak dalam bidang pengiklanan juga perlu dibuang memandangkan ia akan menjejaskan pendapatan syarikat.

Sementara itu, mengenai segmen Usahawan tersebut Mohamed Khaled berkata, ia dilaksanakan dengan kerjasama stesen televisyen swasta TV3 yang disiarkan melalui program Malaysia Hari Ini (MHI) setiap Isnin hingga Rabu bermula pukul 8.30 pagi.

Jelasnya, program tiga minit itu akan memberi peluang kepada usahawan untuk mempromosi dan memperkenalkan produk masing-masing kepada orang ramai.
Buat permulaan ujar beliau, sebanyak 10 usahawan yang memiliki pelbagai produk dipilih untuk menjayakan program ini dan ia akan ditambah kepada 40 syarikat usahawan lain.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s