Masalah Boleh Diubah Jadi Peluang

Secara kebetulan kita perhatikan banyak persidangan, forum, konvensyen atau seminar dianjurkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini di Malaysia. Paling besar sidang kemuncak pemimpin negara Asean minggu lalu yang mendapat liputan meluas media tempatan dan antarabangsa. Pada masa sama beberapa persidangan dan forum berkaitan pelbagai isu juga dianjurkan. Kewangan, perniagaan atau perkara berkaitan kemasyarakatan mengenai keamanan dunia, masalah dadah dan bencana alam antara isu utama perbincangan.

Antara tujuan utama persidangan ialah mencari rumusan dan penyelesaian terhadap isu dan masalah yang dibincang. Biasanya pada setiap persidangan atau forum, beberapa pembentangan menganalisis dan memberi cadangan penyelesaian akan dibuat. Setiap persidangan atau seminar juga menjadi medan perjumpaan pelbagai pihak berinteraksi dan meluaskan jaringan. Dalam perniagaan terutama peluang meluaskan jaringan sangat penting untuk tujuan perniagaan. Ada orang suka menghadiri persidangan bagi meluaskan perhubungan daripada menumpukan perhatian kepada perbincangan.

Pada akhir persidangan atau forum, amalan biasa ialah merumuskan beberapa cadangan penyelesaian dan memajukan cadangan kepada pihak dianggap berkuasa atau bertanggungjawab terhadap isu berbangkit. Malangnya, walaupun sekian banyak persidangan atau forum dianjurkan bagi membincang pelbagai isu dan masalah, sebahagian besar masalah berkaitan masih berterusan. Kegagalan menyelesaikan masalah mungkin disebabkan kelemahan mengenal pasti masalah atau cadangan penyelesaian.

Apa yang jelas kehidupan ini penuh dengan ketidaktentuan menyebabkan manusia perlu membuat pelbagai andaian untuk merancang dan melaksanakan sesuatu. Ada ketika apa yang berlaku tidak mengikut kehendak dan perancangan kita menyebabkan kita menghadapi masalah. Secara umum, masalah timbul apabila sesuatu tidak dirancang berlaku dan memberi kesan buruk kepada kita. Sama ada masalah itu besar atau kecil bergantung kepada sejauh mana ia memberi kesan negatif kepada kita. Sesuatu yang tidak dirancang tidak semestinya menjadi masalah jika tidak mengganggu kita.

Dalam dunia perniagaan, ketidaktentuan adalah sesuatu yang perlu ditangani setiap usahawan dan pengurus perniagaan. Antara lain usahawan perlu berdepan dengan ketidaktentuan dalam keadaan persekitaran, integriti maklumat, tahap keperluan dan kepuasan pihak berkepentingan dan pelbagai isu lagi.

Ketidaktentuan menyebabkan perubahan berlaku dari semasa ke semasa. Perubahan memaksa kita membuat keputusan supaya dapat menanganinya dengan penyelesaian terbaik. Untuk membuat keputusan dengan baik, kita perlu membina kemahiran menyelesai masalah. Membuat keputusan bermakna membuat pilihan berkaitan apa kita inginkan berlaku. Proses membuat keputusan tidak mementingkan sejarah lalu, tetapi lebih kepada menentukan apa harus menjadi sejarah. Membuat keputusan memang membebankan kerana ia mengikat kita kepada tindakan tertentu. Sebelum tiba ke tahap membuat keputusan, kita perlu melalui proses menganalisis masalah kerana ingin menerangkan sesuatu yang sudah berlaku dan puncanya. Ia berbeza dengan proses membuat keputusan yang melihat apa harus berlaku.

Dalam kehidupan harian, kita hanya melihat kesan sesuatu perkara dan terpaksa membuat tekaan apakah punca kesan itu. Kadangkala sesuatu yang berlaku bagaikan misteri. Setiap pengurus perlu berdepan dengan misteri dan ketidaktentuan dalam proses menyelesaikan masalah. Apabila sesuatu berlaku mengikut perancangan, tidak ada masalah timbul. Dalam sesetengah keadaan, perubahan berlaku dalam satu atau sebahagian andaian kita menyebabkan berlaku penyimpangan yang boleh merubah hasil dirancang. Setiap perubahan menjadi penyebab yang mengubah hasil perancangan.

Jika kita dapat mengesan apa yang menyebabkan perubahan dan menilai sejauh mana perubahan menyebabkan penyimpangan, kita dapat mencari jalan penyelesaian bersesuaian. Menganalisis masalah boleh dilakukan secara teratur dengan mengikut beberapa langkah tertentu. Pertama, mengenal pasti penyimpangan yang berlaku dalam pelaksanaan perancangan. Kita perlu mengenal pasti secara khusus apakah penyimpangan yang berlaku, di mana, bila dan sejauh mana ia berlaku.

Seterusnya kita perlu pula menetapkan apa yang bukan penyimpangan yang akan memberi kedudukan jelas punca masalah dan apa faktor yang tidak berubah. Dengan pengenalan ini kita boleh meneliti perkara unik dan pelik menyebabkan berlaku penyimpangan perancangan. Langkah selanjutnya mencari perubahan utama yang menyebabkan berlaku hasil berbeza daripada dijangka. Jika kita dapat melakukan analisis ke tahap ini, kita sudah bersedia untuk membuat rumusan apakah punca utama menimbulkan masalah. Rumusan harus diuji dengan menyemak adakah ia penyebab berlaku penyimpangan.

Setiap ahli perniagaan harus menerima hakikat jarang sekali rancangan perniagaan mereka dapat berjalan seperti dirancang sepenuhnya. Banyak faktor menentukan kelancaran perniagaan. Sebahagian faktor di luar kawalan dan akan berubah menyebabkan kesukaran dan masalah. Ujian kepada usahawan adalah kemampuan berdepan dengan setiap masalah dan cuba mengatasinya. Tiada perniagaan yang tidak bermasalah. Setiap sumber, terutama masa perlu digunakan dengan bijak untuk menyelesaikan masalah. Tidak guna asyik merungut dan menyalahkan orang lain apabila berdepan dengan masalah.

Biasanya pengalaman akan mengajar kita menjadi lebih yakin dan berkemampuan mengurus perniagaan. Pengalaman tidak dapat dicapai jika kita sentiasa lari daripada permasalahan atau menyerahkan kepada orang lain menyelesaikannya. Kita juga boleh belajar daripada pengalaman orang lain. Usahawan perlu berusaha mencari cerita pengalaman usahawan lain. Ini boleh dilakukan dengan meluaskan pergaulan atau membaca kisah pengalaman orang. Jika kurang pengetahuan, jangan malu bertanya kepada yang tahu.

Untuk berjaya, masalah perlu ditangani. Lari daripada masalah bukan penyelesaian terbaik. Paling utama adalah menyedari ada masa masalah boleh diubah menjadi peluang baru jika kita memberi tumpuan menganalisis masalah berkenaan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s