Disiplin Perkukuh Modal Insan

Manusia secara semula jadi sentiasa mencari kemajuan. Dengan kebijaksanaan anugerah Allah, manusia terus berusaha memperbaiki kehidupan. Ini mengakibatkan pelbagai perubahan yang memaksa kita menyesuaikan diri supaya tidak ketinggalan. Ciri penting untuk menyesuaikan diri dengan kemajuan dan perubahan ialah meningkatkan daya saing dan daya maju. Usaha kerajaan memberi penekanan kepada pembangunan modal insan adalah strategi tepat supaya negara mampu bersaing menandingi kemajuan negara lain.

Untuk menyesuaikan diri dengan kemajuan cara bekerja, cara berniaga, penggunaan teknologi dan sebagainya, negara memerlukan sumber manusia serba boleh. Adalah penting masyarakat menyedari hakikat ini. Jika kita tidak mampu melahirkan modal insan berkebolehan, sukar bagi kita mengikut arus kemajuan dunia. Negara memerlukan modal insan berpengetahuan dan mahir pada semua peringkat tenaga kerja. Tidak memadai jika kita melahirkan pengurus dan golongan profesional hebat dan cekap, tetapi tidak disokong oleh tenaga kerja peringkat bawah yang juga hebat dan cekap.

Usaha memperkukuh daya saing dan kecekapan negara sudah lama disedari. Pengenalan konsep Pensyarikatan Malaysia lebih 20 tahun lalu bertujuan meningkatkan kecekapan negara untuk bersaing. Menerusi konsep ini sektor awam dan swasta perlu berganding dan seiringan supaya ekonomi negara lebih maju. Oleh itu, usaha membangun modal insan hendaklah meliputi kedua-dua sektor awam dan swasta dan pada setiap lapisan guna tenaga. Di pihak kerajaan, perkhidmatan awam hendaklah membentuk tenaga kerja berpengetahuan, cekap, bersungguh serta faham segala dasar dan matlamat kerajaan dan negara.

Sektor swasta pula perlukan usahawan dan ahli perniagaan yang kreatif, berdaya saing serta berdaya tahan untuk menyumbang kepada kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negara. Sektor swasta juga perlukan pekerja sokongan yang mahir, cekap serta memahami matlamat perniagaan dan sumbangan majikan mereka kepada negara. Jelas pembangunan modal insan sangat penting kepada negara. Namun, tugas membangun modal insan bukan tanggungjawab kerajaan saja. Kerajaan walaupun bertanggungjawab menyediakan kemudahan pendidikan dan latihan tertentu, rakyat berperanan membantu melahirkan modal insan berdaya maju.

Pada masa ini, sudah ada prasarana memuaskan untuk membentuk dan melatih modal insan walaupun masih perlu diperbaiki. Masyarakat berpeluang mendapat pelajaran dan pendidikan dari peringkat prasekolah hingga peringkat institusi pengajian tinggi. Pelajar kurang menyerlah dalam pendidikan akademik masih berpeluang mencari kemahiran tertentu menerusi pelbagai pusat latihan kemahiran kerajaan dan swasta. Dengan ini, setiap anggota masyarakat berpeluang mencari ilmu dan kemahiran tertentu selagi mereka berminat melakukannya.

Bagaimanapun, penyediaan pelbagai institusi pendidikan pada semua peringkat umur serta peluang mendapat latihan kemahiran tidak mampu membangun modal insan yang berdaya saing dan berdaya maju jika tidak diiringi sikap yang betul. Ciri penting dalam usaha membentuk insan berdaya saing ialah disiplin. Berdisiplin ertinya sedia mematuhi tata tertib sesuatu urusan. Insan berdisiplin tidak akan menyeleweng daripada peraturan dan perancangan ditetapkan. Mereka yang tidak berdisiplin memang sukar dibentuk menjadi insan berdaya saing dan berdaya maju.

Kemampuan mendisiplinkan diri perlu ada jika ingin berjaya dalam apa juga daya usaha. Dalam proses membangun modal insan, tenaga pengajar, jurulatih, pelajar dan pelatih semuanya perlu berdisiplin jika ingin mencapai matlamat mereka. Bayangkan jika perkhidmatan awam diurus golongan tidak berdisiplin walaupun mahir dan berpengetahuan. Tentu urusan pentadbiran kerajaan tidak cekap dan menyusahkan orang ramai. Malangnya, kita saksikan ini berlaku dalam jabatan atau perkhidmatan tertentu disebabkan segelintir kakitangan tidak berdisiplin.

Begitu juga dalam sektor perniagaan. Usahawan mungkin berdaya maju, tetapi tidak mampu berjaya seorang diri. Usahawan perlukan sokongan pengurus atau pekerja berkebolehan serta berdisiplin. Pekerja tidak berdisiplin boleh merugikan perniagaan majikannya. Masyarakat Melayu masih ketinggalan dalam perniagaan dan keusahawanan. Orang Melayu perlu sedar pentingnya modal insan berkualiti jika ingin maju. Jika ingin terbabit dalam perniagaan, sama ada sebagai usahawan atau pekerja, orang Melayu perlu berdisiplin dan bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran sesuai.

Kita tahu sebahagian usahawan Melayu gagal kerana mereka sendiri tidak berdisiplin dalam mengurus perniagaan walaupun ada pengetahuan berniaga. Mereka ini tentunya tidak boleh menyalahkan orang lain atas kegagalan mereka. Pada masa sama ramai usahawan Melayu berdisiplin dan berdaya maju menghadapi masalah apabila menggunakan tenaga kerja Melayu atas keinginan membantu bangsa sendiri. Tahap disiplin rendah menyebabkan ramai pekerja Melayu mengambil mudah tanggungjawab mereka sebagai pekerja.

Apabila melawat premis perniagaan usahawan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, ramai menceritakan kepada saya masalah mendapatkan pekerja rajin dan berdisiplin. Lebih mendukacitakan apabila masalah pekerja ini membabitkan pekerja Melayu. Banyak contoh bagaimana rendahnya tahap kesungguhan dan disiplin pekerja Melayu. Ada yang tidak datang kerja hanya kerana hujan. Apabila keluar makan mengambil masa terlalu lama. Kesediaan bekerja lebih masa pula hanya apabila memerlukan wang, bukan atas dasar kepentingan syarikat. Kesungguhan meningkatkan kemahiran pula amat rendah.

Sikap sebahagian pekerja Melayu ini menyusahkan majikan mereka yang ingin berjaya sebagai usahawan Melayu. Mereka memaksa usahawan Melayu mencari tenaga kerja bukan Melayu yang lebih bersungguh. Sebagai pekerja mereka seharusnya sedar peranan mereka menyumbang ke arah kemajuan usahawan Melayu dengan menjadi pekerja baik. Disiplin wajar menjadi kekuatan umat Islam yang sedang dilatih sepanjang Ramadan sekarang.

Disiplin meninggalkan perkara ditegah dan melakukan perkara diperintah serta menepati masa bersahur dan berbuka seharusnya menjadikan umat Islam sedar mengenai pentingnya disiplin.
Sebagai satu masyarakat, kita perlu segera sedar kelemahan menjadi kumpulan modal insan yang mampu memainkan peranan terutama dalam perniagaan dan keusahawanan. Kita perlu mulakan dengan membina disiplin diri untuk menjadi kumpulan modal insan bernilai tinggi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s