Berani Ambil Risiko Tingkat Daya Saing

Kemunculan ramai peniaga Bumiputera setiap Ramadan amat menarik perhatian. Melihat kepada jumlah Bumiputera berniaga di pasar dan bazar Ramadan di merata tempat, memberi harapan kepada kita bahawa semakin ramai Bumiputera berani dan mampu menjadi usahawan. Namun apabila ditinjau, sebahagian besar peniaga Ramadan sebenarnya daripada golongan peniaga tetap. Mereka mengambil peluang berniaga di pasar dan bazar Ramadan untuk mencari keuntungan tambahan. Kebanyakan mereka mempunyai kedai atau gerai tetap dan sudah berpengalaman sebagai usahawan.

Bilangan peniaga sambilan pada Ramadan sebenarnya tidak begitu ramai. Amat sedikit pula daripada kalangan peniaga sambilan ini menjadi peniaga tetap selepas Ramadan. Mereka berniaga di bulan puasa sekadar mencari pendapatan tambahan dan bukan sebagai proses latihan menjadi usahawan sepenuh masa. Walaupun banyak usaha dilakukan untuk meramaikan lagi usahawan Bumiputera, kadar penambahan usahawan baru Bumiputera masih rendah. Kekurangan modal dan pengalaman mungkin antara faktor menghalang pembabitan lebih ramai Bumiputera dalam perniagaan.

Masalah kekurangan modal dan pengalaman boleh diatasi dengan adanya pelbagai program pembangunan dan latihan keusahawanan oleh kerajaan. Namun mereka yang ingin menjadi usahawan berjaya harus ingat kejayaan tidak boleh dicapai hanya dengan modal yang cukup. Ramai usahawan diberi bantuan modal tetapi masih gagal. Ada banyak faktor menentukan kejayaan usahawan dalam perniagaan. Antaranya ialah minat mendalam, tahap kesungguhan tinggi, rajin bekerja, bersedia dengan pengetahuan mengenai bidang diceburi, memahami bagaimana perniagaan berfungsi dan beberapa ciri lain.

Satu daripada ciri penting keusahawanan ialah kesanggupan mengambil risiko. Banyak kajian mendapati kecenderungan mengambil risiko adalah sebahagian daripada ciri keperibadian usahawan berjaya. Ini selari hukum pelaburan bahawa paras pulangan berkait rapat dengan tahap risiko. Bagaimanapun, kecenderungan mengambil risiko dalam perniagaan hendaklah secara bijak dan terancang. Keberanian mengambil risiko perlu diimbangi dengan pengetahuan dan kefahaman mengenai cara menilai dan menangani risiko terbabit.

Beberapa tahun kebelakangan ini, pengurusan risiko semakin diberi penekanan dalam aspek pengurusan perniagaan. Malah, syarikat besar sekarang biasanya menubuhkan jabatan khas untuk mengurus risiko perniagaan mereka. Pakar dan pengkaji pengurusan membentuk beberapa kaedah khusus untuk menilai risiko. Dengan menggunakan kaedah tertentu, pihak pengurusan boleh menentukan sama ada sesuatu risiko itu tinggi, sederhana atau pada tahap rendah dan dengan itu mengambil tindakan bersesuaian risiko terbabit.

Usahawan kecil dan sederhana mungkin tidak mampu menyediakan pengurus khas untuk mengurus risiko. Oleh itu usahawan sendiri perlu tahu perkara asas mengenai risiko dan bagaimana mengurusnya. Ramai usahawan gagal kerana tidak nampak risiko yang mengancam perniagaan mereka ketika membuat keputusan tertentu. Dalam perniagaan, setiap keputusan pasti membabitkan soal kewangan. Usahawan hendaklah sentiasa ingat matlamat perniagaan adalah untuk meningkat kekayaan dengan menambah nilai kepada modal asal. Ini memerlukan keputusan dan tindakan yang tidak membawa kerugian kewangan kepada perniagaan.

Untuk mengurus risiko, usahawan perlu mampu membayangkan setiap kemungkinan hasil sesuatu tindakan atau kegiatan yang ingin diputuskan. Oleh itu sangat penting mendapatkan semua maklumat sesuatu kegiatan dalam proses membuat keputusan. Dalam keadaan sebenar, usahawan jarang sekali mendapat semua maklumat dalam tempoh yang dikehendaki. Biasanya usahawan terpaksa membuat keputusan tanpa maklumat lengkap. Ini mendedahkan usahawan kepada risiko membuat keputusan salah dan merugikan.

Dunia perniagaan sentiasa berdepan dengan ketidaktentuan. Untuk menangani cabaran ketidaktentuan ini, usahawan perlu membina kemampuan menganalisis semua aspek perniagaannya dan menilai risiko yang mungkin dihadapi. Risiko wujud dalam semua aspek perniagaan. Dari sudut perolehan bekalan umpamanya, usahawan kena lihat apakah kesan risiko terputus bekalan atau harga bahan utama naik mendadak atau bekalan tidak diterima dalam tempoh dikehendaki.

Semua aspek lain seperti pengurusan kewangan, pemasaran, pengeluaran, pengurusan sumber manusia semuanya mempunyai risiko masing-masing yang perlu difahami dan dikenal pasti oleh usahawan. Mengetahui tahap dan kesan risiko dapat membantu usahawan memikirkan langkah mengelak atau mengurangkan risiko. Ramai usahawan menanggung padah kerana membuat keputusan perniagaan tanpa menilai kewujudan risiko secukupnya. Sudah banyak berlaku kes usahawan berdepan masalah selepas membuat keputusan pelaburan baru kerana tidak mengkaji dengan terperinci risiko berkaitan keputusan itu.

Keberanian mengambil risiko memang ciri penting kejayaan dalam perniagaan. Namun usahawan tidak boleh berani secara membuta tuli. Persaingan sengit dunia perniagaan kini menjadikan kemampuan mengurus risiko semakin penting dan kritikal. Usahawan mesti meluangkan masa belajar mengenai pengurusan risiko. Kejayaan perniagaan tidak boleh bergantung kepada nasib. Perniagaan perlu diurus dengan pengetahuan dan kebijaksanaan untuk mendapat kelebihan dalam persaingan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s